Balik ke laman malaysiana / institusi pengajian tinggi / |
TVET |
Kepada semua lepasan SPM, sekiranya anda gagal menyambung pengajian ke Universiti Awam (UA), anda boleh cuba untuk menyambung pengajian dalam bidang teknikal dan vokasional melalui TVET. TVET ialah singkatan untuk 'Technical and Vocational Education and Training' atau Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional. Secara asasnya, TVET merangkumi pengetahuan dan kemahiran teknikal. Secara lebih tepat, TVET ialah proses pendidikan dan latihan yang mempunyai halatuju pekerjaan dengan penekanan utama kepada amalan industri. TVET melahirkan tenaga kerja yang kompeten dalam bidang-bidang teknikal tertentu. Skop TVET adalah berdasarkan kepada standard pekerjaan yang diiktiraf dengan memberi penekanan kepada komponen praktikal, kemahiran psikomotor dan pendedahan kepada latihan industri. Antara bidang kemahiran yang dilahirkan oleh TVET ialah teknologi maklumat, industri automotif, elektrik dan elektronik, jurukimpal marin, kulinari, pertanian dan jahitan. Ada banyak peringkat pengajian dalam TVET. Antaranya ialah:
Kerajaan memperkenalkan TVET bagi memenuhi permintaan industri dan seterusya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara, selaras dengan globalisasi, ekonomi berasaskan pengetahuan, kemajuan teknologi dan mobiliti tenaga kerja global. Pendekatan TVET adalah penting untuk menyediakan modal insan berkemahiran yang diperlukan oleh sektor industri masa kini dan masa hadapan. TVET turut berperanan menyokong peralihan sektor ekonomi ke arah aktiviti berasaskan pengetahuan, selari dengan aspirasi kerajaan untuk menjadi negara maju pada suatu masa kelak. Di Malaysia kini, TVET adalah sektor utama yang membantu kerajaan membangunkan sumber tenaga manusia kepada industri. TVET sebenarnya telah bertapak di Malaysia iaitu sejak tahun 1964 lagi untuk menyediakan latihan kemahiran kepada para belia. Pada masa itu, hanya ada dua agensi kerajaan yang menawarkan pengajian TVET ini iaitu Institut Kemahiran Belia dan Negara (IKBN) Dusun Tua (di Hulu Langat, Selangor) dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Lumpur. Kini terdapat lebih kurang 1300 institusi TVET yang diuruskan oleh badan kerajaan dan swasta. Ini termasuklah Kolej Vokasional dan Politeknik. Institusi TVET ini menawarkan pelbagai jenis kursus kemahiran yang selari dengan kehendak pasaran industri semasa. Pendaftaran tahunan TVET merekodkan lebih 200,000 pelajar baru. Ada dua laluan ke TVET iaitu melalui Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau melalui Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3). Lepasan SPM berpeluang untuk melanjutkan pengajian sama ada dalam bidang sijil atau diploma. Untuk pelajar yang kurang cenderung dalam bidang akademik pula disediakan program khas Sijil dan Sistem Latihan Dua Nasional. Ciri pembelajaran TVET adalah seperti berikut:
Julai 2019 - Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran mengumumkan perlantikan Yusry Abdul Halim (Yusry KRU) sebagai ikon TVET untuk menarik lebih ramai golongan muda untuk menceburi bidang TVET. |
Dalam bulan Jun 2018, Menteri Pendidikan, Dr Mazlee Malik mengumumkan perlantikan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET). Nurul Izzah ialah salah seorang yang sangat mengambil berat tentang pendidikan TVET dan dilihat sebagai berkemampuan untuk membantu golongan muda merebut peluang pekerjaan dan juga keusahawanan. Aliran vokasional dan teknikal akan diangkat supaya setaraf dengan bidang pendidikan yang lain dan tidak lagi dilihat sebagai bidang pilihan kedua. Lulusan TVET mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan lebih baik berbanding dengan lulusan program akademik. Kelebihan ini berpotensi untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menarik minat majikan untuk menawarkan pekerjaan kepada lulusan TVET. Pelajar lepasan TVET dalam bidang kimpalan dasar laut (marin) misanya mampu menjana pendapatan antara RM7,000 hingga RM30,000 sebulan. Bidang-bidang kemahiran yang lain turut mampu membawa pulangan yang lumayan jika diusahakan secara konsisten.
TVET umpama satu saluran untuk memproses dan menghasilkan tenaga mahir tempatan selain daripada menjadi engin pembangunan negara.
TVET dapat memenuhi hasrat negara untuk meningkatkan ekonomi dalam rantaian nilai untuk menjadi ekonomi berpendapatan tinggi.
Beijing - Malaysia dan China bersetuju mempertingkatkan kerjasama dalam bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan berkemahiran tinggi bagi membantu peningkatan ekonomi negara. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata persetujuan itu dicapai ketika mesyuarat dua hala bersama rakan sejawatnya, Naib Perdana Menteri China, Sun Chunlan bersempena lawatan rasmi empat hari ke negara itu. Antara usaha yang boleh dilakukan termasuk menggalakkan kerjasama strategik bersama syarikat China di Malaysia dengan institusi pengajian tinggi Malaysia dengan kepakaran khusus dalam TVET.
Masa depan TVET adalah cerah di Malaysia. Kementerian Pendidikan Malaysia menganggarkan bakal terdapat peningkatan permintaan tambahan sebanyak 1.3 juta pekerja dari lulusan TVET menjelang tahun 2020.
Atas: Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun di Majlis Perasmian Program Ekspo TVET@KPLB Tahun 2019 di Ipoh sedang melihat dron yang digunakan dalam sektor pertanian untuk meracun dan membaja. |