Balik ke laman malaysiana / institusi pengajian tinggi / |
Asasi (Foundation) |
Program Asasi ('Foundation' di UIA, 'Tamhidi' di USIM) ialah program pengajian pra-universiti yang dikendalikan di universiti yang berkenaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Program asasi mengambil masa antara satu hingga dua tahun. Kebanyakannya adalah setahun sahaja.
Sukatan pelajaran program asasi disusun khas menjurus kepada program pengajian peringkat ijazah di universiti berkenaan.
Ada dua jenis aliran program asasi iaitu aliran sastera dan aliran sains. Terdapat sebanyak 44 program asasi secara keseluruhannya.
Universiti Malaya (UM) ada 7 program asasi mereka sendiri manakala Universiti Islam Antarabangsa (UIA) mempunyai 15 jurusan program asasi.
Universiti lain yang mempunyai program asasi antaranya ialah Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Pada dasarnya, program asasi ini adalah program 'feeder' atau pembekal kepada program ijazah di universiti berkenaan. Sebagai contoh, program asasi di UMP disediakan khas untuk membekalkan pelajar ijazah di UPM juga dan bukan untuk universiti lain.
Tidak seperti Tingkatan Enam atau Matrikulasi, Asasi dibentuk khusus sebagai persediaan pelajar untuk menghadapi kurikulum di universiti itu sendiri.
Setakat ini, hanya lepasan asasi dari UM dan UiTM sahaja yang boleh memohon untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah di universiti lain. Walau bagaimanapun, graduan asasi dari kedua universiti itu tetap perlu memohon melalui UPU.
Program Asasi 'Terbuka' ialah program asasi yang disediakan untuk universiti berkenaan dan lepasan asasi itu boleh diterima (jika layak) ke universiti lain. Sebagai contoh, program asasi UM dan UiTM adalah program asasi 'Terbuka'. Program Asasi 'Tertutup' pula ialah program asasi di sesebuah universiti yang disediakan untuk universiti itu sendiri dan bukan untuk universiti lain. Contoh program asasi 'Tertutup' ialah program asasi di Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program asasi untuk bumiputera sahaja dikendalikan di UiTM (semua program asasi), UIA (semua program asasi), UM (asasi sains), UNIMAS (asasi sains) dan UMS (asasi sains). Program asasi yang juga dibuka untuk bukan bumiputera dikendalikan di UM (Asasi Pengajian Islam), UPM (Asasi Sains Pertanian), di UKM (AsasiPintar), UUM (Asasi Pengurusan), USIM (Tahmidi), dan UPNM (semua program asasi).
Universiti negara luar tidak mengiktiraf program asasi yang dikendalikan di Malaysia. Oleh kerana itu, halatuju pelajar lepasan asasi adalah ke universiti di Malaysia sahaja, atau lebih tepat lagi, ke universiti yang menyediakan program asasi itu sendiri.
Pusat Asasi Sains Universiti Malaya (PASUM). Dr. Faiz Khaleed (foto bawah), calon angkasawan negara adalah graduan graduan PASUM. |
Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Kampus Gambang Kuantan (foto atas) mula menerima kemasukan baru lepasan SPM mulai bulan Jun 2019.
Permohonan ke program asasi di Universiti Awam perlu melalui UPU. Permohonan ke program asasi di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) boleh dibuat di institusi masing-masing.
Berbeza dengan program pra-universiti lain seperti Tingkatan Enam atau matrikulasi, program asasi diadakan di universiti berkenaan. Ini bermakna, pelajar akan 'belajar di kampus universiti'.
Ini adalah antara tarikan program asasi. Pelajar rasa suka kerana mereka telah 'belajar di universiti' walaupun sebenarnya untuk ke peringkat ijazah selepas itu, mereka perlu memohon dan kemasukan adalah tidak secara automatik.
Program asasi membawa pelajar terus ke peringkat ijazah. Jika memperolehi keputusan cemerlang, pelajar akan terus ditawarkan pengajian ke peringkat ijazah oleh universiti masing-masing tanpa perlu memohon lagi melalui UPU.
Dalam masa 12 bulan sahaja sudah boleh masuk ke program ijazah (jika melepasi syarat kemasukan). Tiangkatan Enam misalnya memerlukan pengajian selama dua tahun. Program diploma pula kebanyakannya memerlukan masa tiga tahun untuk selesai.
|