Kemerdekaan Tanah Melayu
Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan pada 1948 telah mencapai kemerdekaan dari penjajahan British pada 31 Ogos 1957. Sebelas negeri Melayu dalam Persekutuan Tanah Melayu pada masa itu ialah Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Negara Malaysia
Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963 apabila Persekutuan Tanah Melayu (11 negeri Melayu) bergabung dengan Singapura, Sabah, dan Sarawak. Pada 9 Ogos 1965, Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia untuk menjadi sebuah negara republik. Malaysia kekal dengan 14 buah negeri hingga sekarang.
Hari Malaysia
Hari Malaysia ialah hari memperingati penubuhan Persekutuan Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 September.
Hari Kebangsaan
Hari Kebangsaan atau Hari Kemerdekaan ialah pada 31 Ogos 1957 dan disambut oleh rakyat Malaysia pada setiap tahun.
Raja Berperlembagaan
Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan yang mana negara diperintah oleh raja mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Malaysia mengamalkan sistem Demokrasi Berparlimen di bawah sistem pentadbiran Raja Berperlembagaan.
Ketua Negara
Ketua Negara ialah Yang di-Pertuan Agong (Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan) yang memerintah selama lima tahun mengikut giliran dari kalangan sembilan raja-raja Melayu dari sembilan negeri-negeri Melayu (iaitu Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu).
Ketua Kerajaan
Ketua Kerajaan Malaysia ialah Perdana Menteri yang dilantik melalui suatu pilihanraya umum (PRU).
Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan kuasa eksekutif kepada Perdana Menteri untuk menjalankan pentadbiran negara dengan dibantu oleh barisan kabinet atau jemaah menteri.
Corak Sistem Pemerintahan
Sistem kerajaan Malaysia adalah ala-Westminster iaitu sebuah sistem parlimen kerajaan demokratik yang dimodelkan mengikut acuan kerajaan British (Parlimen United Kingdom) seperti mana yang diikuti oleh kebanyakan negara Komanwel dan bekas negara Komanwel yang lain di dunia.
Dua Bentuk Kerajaan
Ada dua bentuk kerajaan di Malaysia iaitu kerajaan persekutuan (Putrajaya) dan kerajaan negeri (13 kerajaan negeri).
Badan perundangan di peringkat persekutuan ialah Parlimen manakala di peringkat negeri pula ialah Dewan Undangan Negeri (DUN).
Anggota Dewan Rakyat di bawah Parlimen dipilih oleh rakyat Malaysia melalui Pilihanraya Umum (PRU) yang diadakan paling lewat setiap lima tahun sekai. Anggota Dewan Undangan Negeri pula dipilih oleh rakyat negeri masing-masing dalam Pilihanraya Negeri (PRN).
Ketua kerajaan persekutuan ialah Perdana Menteri manakala ketua kerajaan negeri adalah Menteri Besar (di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu) atau Ketua Menteri (di Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak).
Negeri-negeri di Malaysia
Negara Malaysia mempunyai 14 negeri iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Labuan, Putrajaya).
Bandar Kuala Lumpur yang pada asalnya adalah dalam negeri Selangor telah dinaiktaraf menjadi sebuah wilayah persekutuan pada 1 Februari 1974.
Bintang 14 bucu dalam bendera Malaysia adalah simbol kepada jumlah 14 negeri-negeri Melayu ini.
Ketua Negeri
Ketua-ketua negeri Melayu ialah selorang Sultan (di Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu), atau Raja di Perlis, atau Yang Di-Pertuan Besar di Negeri Sembilan.
Ketua Negeri di empat buah negeri Melayu lain yang tidak mempunyai raja ialah Yang di-Pertua Negeri (sebelum kemerdekaan disebut Gabenor). Empat buah negeri tersebut ialah Pulau Pinang, Melaka, Sabah, dan Sarawak.
Bekas Negeri Malaysia
Singapura pernah menjadi salah sebuah negeri di Malaysia sejak pada 16 September 1963 (hari penubuhan Malaysia). Malangnya pada 9 Ogos 1965, Singapura telah keluar (atau dikeluarkan) dari Persekutuan Malaysia dan menjadi sebuah negara republik.
Nama 'Malaysia'
Walaupun telah mencapai kemerdekaan sejak bulan Ogos 1957, namun Nama 'Malaysia' hanya mula digunakan pada 16 September 1963. Sebelum dari itu kerajaan negeri-negeri Melayu dikenali sebagai Persekutuan Tanah Melayu (1948-1957). Nama Malaysia tercetus dari ilham Tunku Abdul Rahman.
Malaya
'Malaya' ialah nama yang digunakan oleh British untuk kumpulan negeri-negeri Melayu yang mereka jajah pada suatu masa dahulu. Panggilan Malaya terus kekal dalam sejarah hingga sekarang. Ia merujuk kepada 'negeri orang Melayu (Malays)'.
Nama Tertua Tanah Melayu
Nama Semenanjung Tanah Melayu yang paling tua pernah dicatatkan sejarah ialah Aurea Chersonesus (semenanjung emas) iaitu nama yang diberikan oleh ahli geografi Greco-Roman bernama Ptolemy dalam bukunya Geographia yang ditulis olehnya dalam sekitar tahun 150 Masihi.
|